Apabila ingin mengenakan CBP, adalah perlu untuk mengeluarkan invois cukai
yang mengandungi amaun CBP dan harga pembekalan secara berasingan. Invois cukai
mesti dikeluarkan dalam tempoh 21 hari dari masa pembekalan.
Maklumat yang mesti ditunjukkan di dalam invois cukai:
- Perkataan ‘invois cukai’ di tempat yang ketara
- Nombor siri invois cukai
- Tarikh pengeluaran invois cukai
- Nama (atau nama perdagangan), alamat dan nombor pengenalan CBP pembekal
- Nama dan alamat orang yang menerima pembekalan barang atau perkhidmatan
- Diskripsi barang atau perkhidmatan yang dibekalkan
- Kuantiti atau jumlah barang atau perkhidmatan yang dibekalkan
contohnya berapa liter petrol, berapa kilo daging atau berapa jam buruh;
apa-apa diskaun yang ditawarkan
- Jumlah amaun kena dibayar tidak termasuk cukai, kadar cukai dan jumlah
cukai dikenakan ditunjukkan secara berasingan
- Jumlah amaun kena dibayar termasuk jumlah cukai dikenakan
Ketua Pengarah Kastam boleh atas permohonan membenarkan invois cukai berbeza
dari di atas samada dari segi maklumat di dalam invois cukai atau jenis invois
cukai yang berbeza iaitu invois cukai mudah.
Invois Cukai Dipermudah
Invois cukai dipermudah tidak mengandungi semua butir-butir yang diperlukan dalam invois cukai
standard dan tertakluk kepada kelulusan Ketua Pengarah. Invois cukai dipermudah yang tidak mempunyai
nama dan alamat penerima, cukai input maksima yang dituntut tidak boleh melebihi RM30.00 (6% GST).
Jika penerima mahu menuntut amaun penuh cukai input (lebih daripada RM30.00), maka dia mesti meminta
nama dan alamat beliau dinyatakan dalam invois cukai dipermudah.
Ketua Pengarah boleh membenarkan invois cukai dipermudah dikeluarkan
mengandungi maklumat seperti berikut:
- Nama (atau nama perdagangan), alamat dan nombor pengenalan CBP pembekal
- Tarikh invois dikeluarkan
- Nombor siri invois
- Diskripsi barang atau perkhidmatan yang dibekalkan
- Jumlah amaun kena dibayar termasuk jumlah cukai yang dikenakan
- Untuk setiap kadar cukai yang dikenakan, amaun kena dibayar, termasuk
cukai dan kadar cukai dikenakan