Langkah pertama ke arah kesediaan CBP adalah pendaftaran CBP. Adalah perlu
untuk dipastikan samada wajib didaftarkan atau memilih untuk pendaftaran secara
sukarela.
Seseorang adalah dikehendaki untuk berdaftar di bawah CBP jika perolehan
bercukai tahunannya melebihi RM 500,000. Seseorang itu termasuk individu,
pemilik tunggal, perkongsian, syarikat, pemegang amanah, pertubuhan, kesatuan,
kelab persatuan atau mana-mana organisasi termasuk jabatan kerajaan atau pihak
berkuasa tempatan yang terlibat di dalam perniagaan yang membuat pembekalan
bercukai di Malaysia.
Perolehan bercukai tahunan boleh ditentukan berdasarkan salah satu daripada
berikut:
- Nilai pembekalan bercukai bagi bulan semasa dicampur dengan nilai
pembekalan bercukai bagi sebelas (11) bulan sebelumnya.
- Nilai pembekalan bercukai bagi bulan semasa dicampur dengan nilai
pembekalan bercukai yang dijangka bagi sebelas (11) bulan seterusnya.
Adalah perlu untuk menentukan jenis pendaftaran yang terbaik untuk perniagaan
anda:
- Pendaftaran secara sukarela
- Pendaftaran kumpulan
- Pendaftaran cawangan/bahagian
Pembatalan Pendaftaran
Permohonan bagi pembatalan pendaftaran perniagaan hendaklah dibuat dalam
tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh berlakunya perkara-perkara berikut:
- Perniagaan telah ditamatkan
- Tidak lagi memenuhi syarat-syarat yang perlu untuk didaftarkan
Pendaftaran Secara Sukarela
- Seseorang yang membuat pembekalan bercukai dan perolehan bercukai
tahunannya kurang RM 500,000 tidak perlu didaftarkan. Walau bagaimanapun dia
boleh memohon untuk berdaftar secara sukarela. Pendaftaran secara sukarela
di benarkan tetapi hendaklah kekal berdaftar sekurang-kurangnya bagi tempoh
dua (2) tahun.
- Setelah berdaftar, mereka perlu mengenakan dan memungut CBP ke atas
pembekalan bercukai dan pada masa yang sama berhak untuk membuat tuntutan
kredit cukai input dan layak untuk mendapat kemudahan-kemudahan yang
disediakan di bawah undang-undang.
Pendaftaran Kumpulan
Pendaftaran kumpulan adalah satu kemudahan yang membenarkan dua atau lebih
syarikat untuk berdaftar sebagai satu kumpulan dan memusatkan pentadbiran mereka
untuk tujuan perakaunan CBP. Setiap syarikat hendaklah didaftarkan secara
individu sebelum mereka yang berkaitan mendaftar sebagai satu kumpulan dan
setiap syarikat hendaklah membuat pembekalan bercukai sepenuhnya.
Syarat-syarat untuk pendaftaran kumpulan
- Syarikat-syarikat adalah layak untuk pendaftaran kumpulan jika satu
syarikat mengawal satu syarikat lain. Satu syarikat dianggap mengawal
syarikat lain jika syarikat tersebut memegang secara langsung, atau tidak
secara langsung melalui subsidiari atau bersama-sama secara langsung atau
tidak langsung melalui subsidiari lebih dari 50% modal saham yang
dikeluarkan oleh syarikat kedua.
- Seorang anggota hendaklah dicalonkan oleh kumpulan untuk menjadi anggota
wakil kumpulan.
- Apa-apa pembekalan bercukai yang dibuat oleh atau kepada anggota
kumpulan hendaklah dianggap sebagai pembekalan oleh atau kepada anggota
wakil kumpulan.
- Pembekalan di antara anggota kumpulan tidak dianggap sebagai pembekalan.
- Setiap anggota kumpulan adalah perlu menyimpan rekod dengan sempurna
kerana mereka bertanggungan secara bersesama dan berasingan.
Pendaftaran Cawangan/Bahagian
Seseorang orang kena cukai yang menjalankan
perniagaannya di dalam beberapa cawangan
atau bahagian boleh memohon dan tertakluk kepada
terma-terma dan syarat-syarat yang ditetapkan, berdaftar
di atas nama
cawangan atau bahagian tersebut. Kemudahan ini
disediakan untuk orang kena cukai yang mempunyai beberapa unit perakaunan
kendiri untuk mendaftar setiap unit secara berasingan untuk CBP.
Setiap cawangan/bahagian akan diberikan nombor pendaftaran CBP secara
berasingan dan mengemukakan penyatanya sendiri. Walau bagaimanapun orang kena
cukai kekal bertanggungan ke atas semua tanggungan CBP untuk semua cawangan/bahagian.